BYD rasmi lancarkan varian baharu EV sedan SEAL – dari RM163,800
Varian Dynamic ini sekaligus melengkapi barisan tiga varian bagi model SEAL dan menawarkan kepelbagaian kepada pelanggan dengan varian Dynamic, Premium dan Performance.
Dari sudut penggayaan reka bentuk, ia masih kekal sama seperti varian SEAL lain, dengan body style sedan dan siluet coupe untuk memberi rupa bentuk menawan dan efisien aerodinamik.
Perbezaan yang dapat dilihat pada varian Dynamic berbanding varian Premium dan Performance adalah penggunaan saiz roda, varian Dynamic menggunakan roda tayar bersaiz 225/50 R18 manakala varian lain menggunakan saiz 235/45 R19.
BYD Dynamic turut ditawarkan dengan dua pilihan warna sahaja, iaitu warna Cosmos Black dan Aurora White.
Pada sudut dalaman, BYD masih mengekalkan ciri infotainmen berputar dengan paparan bersaiz 15.6 inci yang boleh bersambung dengan aplikasi BYD, fungsi arahan suara untuk beri lebih pengalaman pemanduan.
Selain itu, untuk beri lebih suasana yang menenangkan ketika berada dalam kenderaan, SEAL Dynamic menampilkan sistem bunyi dengan 12 pembesar suara Dynaudio dan sistem penapisan termaju PM2.5.
Dari sudut spesifikasi dan prestasi, SEAL Dynamic dinadikan dengan pek bateri litium iron prosphate (LFP) Blade berkapasiti 61.44kWj yang memberi jarak gerak sehingga 510KM mengikut kitaran NEDC.
Pek bateri tersebut menjana kuasa kepada motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang (RWD) dengan kuasa output maksimum 201HP dan kuasa tork maksimum 310Nm dan memecut dari 0-100kmj pada 7.5 saat.
Untuk sokongan pengecasan, ia mampu menyokong pengecasan pantas DC sehingga 110kW dan sokongan pengecasan AC 7kW yang mengecas penuh dalam sembilan jam.
Port pengecasan tersebut juga menyokong fungsi vehicle-to-road (V2L) yang membenarkan kenderaan tersebut menjadi generator sumber tenaga elektrik pada perkakas kecil lain.
BYD SEAL Dynamic turut dilengkapi dengan ruangan kapasiti ruangan kargo sehingga 400 liter pada ruangan but belakang dan 50 liter dibawah hud hadapan.
Dengan penarafan keselamatan ANCAP lima bintang, BYD SEAL Dynamic RWD mengutamakan perlindungan pemandu dan penumpang melalui teknologi Ultra Safe Blade Battery dengan binaan Cell-To-Body (CT) dan sembilan beg udara.
Varian Dynamic RWD juga dilengkapi ciri ADAS yang komprehensif dan sistem kamera 360 darjah resolusi tinggi, yang merupakan standard di seluruh rangkaian BYD SEAL.
Ia memberikan keselamatan dan keyakinan tambahan untuk pemandu manakala pengedaran beban gandar hadapan dan belakang 50:50 memastikan prestasi optimum dalam keadaan pemanduan yang berbeza-beza.
Harga jualan bagi varian baharu BYD SEAL Dynamic adalah bermula daripada RM163,800.
Untuk pengalaman pemilikan, BYD SEAL turut didatangkan dengan pakej jaminan seperti jaminan kenderaan selama enam tahun atau 150,000km, jaminan bateri lapan tahun atau 160,000km dan jaminan unit pacuan lapan tahun atau 150,000km.
Tambahan juga, sebagai tawaran pengenalan, bagi 100 tempahan awal BYD SEAL Dynamic akan menerima pengecasan rumah Wall box.