Jaecoo J7 PHEV bakal dilancarkan – jarak gerak 1,300KM, anggaran RM170,000
Jaecoo J7 diposisikan dalam pasaran sebagai sebuah SUV kelas premium segmen-C yang diberi dengan tanda harga bermula dari RM138,800.
Kali ini, Jaecoo memperkenalkan satu lagi pilihan versi baharu bagi Jaecoo J7, iaitu versi plug-in hibrid (PHEV) yang mengabungkan kuasa enjin petrol dan kuasa motor elektrik.
Baru-baru ini juga, beberapa rakan media berpeluang untuk pandu uji sendiri Jaecoo J7 PHEV di China, dan hasil pandu uji itu dikatakan, mereka berjaya mengharungi lebih 1,300km dalam sekali pengecasan penuh dan pengisian penuh petrol.
Tapi semua perkara itu berlaku di China, sudah tentu terdapat beberapa faktor yang bakal memberi hasil ujian dan pengalaman pemanduan yang berbeza jika di Malaysia.
Apa-apa pun, pastinya Jaecoo J7 PHEV akan dipasarkan dengan talaan mengikut spesifikasi dan keadaan jalan raya di Malaysia.
Untuk spesifikasi trenkuasa, J7 PHEV mengabungkan enjin petrol 1.5 liter empat silinder dengan motor elektrik tunggal yang dinadikan dengan pek bateri berkapasiti 18.3 kWj.
Enjin petrol tersebut menghasilkan kuasa output pada 140hp dan daya kilas 215Nm tork, manakala motor elektrik tersebut memacu dengan kuasa output 201hp dan daya kilas 310Nm tork.
Apabila kedua-dua unit kuasa itu digabungkan, ia menghasilkan kuasa output 342hp dan daya kilas 525Nm tork, seterusnya memberi prestasi pecutan 0-100kmj hanya dalam 8.5 saat.
Bagi prestasi unit elektrifikasi sahaja, ia mampu bergerak sehingga 106km mengikut kitaran NEDC dan bagi keseluruhan jarak gerak, ia mampu mencapai hingga 1,300km mengikut kitaran NEDC.
Sebagai model PHEV, J7 ini menyokong pengecasan AC sehingga lebih 6.6kW dan pengecasan DC sehingga lebih dari 40kW.
Manakala bagi penggunaan bahan api pula, Jaecoo mendakwa J7 PHEV ini menggunakan 5.99 liter per 100km dan Jaecoo J7 PHEV ini mempunyai kapasiti tangki bahan api sehingga 60 liter.
Dari segi visual reka bentuk, tiada perubahan ketara yang berubah pada Jaecoo J7 PHEV dan masih kekal sama dengan versi petrol Jaecoo J7.
Ukuran dimensi J7 PHEV adalah 4500mm panjang, 1865mm lebar, 1670mm tinggi dan 2672mm bagi jarak antara roda.
Namun begitu, J7 PHEV menerima ruangan but lebih luas dengan kapasiti 500 liter berbanding versi petrol hanya 424 liter dan apabila barisan kerusi belakang J7 PHEV dilipat, ia beri keluasan sehingga 1265 liter.
Untuk ruangan dalaman, terdapat beberapa perbezaan, dimana J7 PHEV tidak menerima tombol pertukaran gear dan kawalan konsol jenis putaran seperti yang ada pada J7 versi petrol.
J7 PHEV menampilkan center stack yang lagi minimalis terus dipadankan dengan sistem infotainmen paparan menegak berukuran 14.8 inci melengkapkan dashboard tersebut.
Selain itu, keseluruhan tempat duduk J7 PHEV menampilkan kesemuanya dengan balutan artificial leather berwarna hitam, seragam dengan keseluruhan dalaman kabin kenderaan tersebut.
Untuk aspek pengalaman pemanduan, J7 PHEV menampilkan tiga mod pemanduan sahaja iaitu Economy, Standard dan Sports, berbeza dengan versi petrol yang menerima mod Sand, Mud, Snow dan off-road.
Selain tampil dengan sudut departure 28 darjah dan sudut approach 20 darjah, Jaecoo turut mendakwa versi PHEV ini mempunyai keupayaan mengharungi air sedalam 450mm.
Untuk pasaran Malaysia, buat ketika ini Jaecoo J7 PHEV hanya ditawarkan dengan tiga variasi warna luaran, iaitu Carbon Crystal Black, Khaki White dan Moonlight Silver yang datang sekali dengan bumbung hitam.
Belum pengumuman rasmi harga diumumkan, namun begitu harga anggaran yang diletakkan oleh Jaecoo bagi model J7 PHEV ini adalah sekitar RM170,000.
Buat ketika ini, J7 PHEV dipamerkan di Sunway Pyramid aras LG2 Orange Wing untuk acara pratonton yang hanya akan berlangsung sehingga Ahad ini, 27 Oktober 2024.